arena

Enggan angkat bendera putih

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Meskipun pernah dirawat 73 hari akibat pandemik Covid-19, jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong yakin mampu kembali kepada prestasi sebenar dalam masa terdekat ini menerusi latihan khas yang disediakan oleh barisan kejurulatihan.

Jackie berkata, walaupun agak bergelut untuk kembali pulih dan mengekalkan prestasi, pemegang rekod kebangsaan itu enggan mengangkat bendera putih dan mahu terus membuktikan dia masih lagi mampu melakukan kejutan pada kejohanan akan datang.

Menurutnya, dia dalam rangka persediaan untuk menyertai beberapa kejohanan termasuk Terbuka Perak yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.

"Penyertaan pada siri kejohanan itu bukanlah mahu mencipta kejayaan atau perbaharui rekod cuma mahu mengukur sejauh mana kebolehan dan kemampuan selepas berehat dalam tempoh terlalu lama.

"Ketika ini, saya banyak mengikut modul latihan yang disediakan jurulatih untuk dapatkan kembali prestasi yang dilihat agak merudum sejak kebelakangan ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini nama Jackie mencuri tumpuan selepas dirawat di Hospital Sibu selama 73 hari akibat pandemik Covid-19.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak 68.22 meter yang dicatat pada Kejohanan KOM di Stadium Mini MSN di Bukit Jalil, Ogos tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 6:00am
    d