arena

Legasi Schumacher kembali ke Tuscany

Oleh Agensi

MICK Schumacher, anak legenda Formula Satu yang juga juara dunia tujuh kali, Michael bakal tampil kali pertama dalam perlumbaan F1 menjelang Grand Prix Tuscan hujung minggu ini.

Schumacher yang kini menyinar di Formula 2 bersama pasukan Prema Theodore Racing akan menyertai sesi latihan bebas di Litar Mugello, esok.

Namun tidak diketahui pasukan bakal diwakili pelumba berusia 21 tahun itu tetapi Alfa Romeo dan Haas antara yang menjadi pilihan.

Schumacher menduduki ranking kedua F2 di belakang pelumba dari Britain yang juga rakan dari Akademi Pelumba Ferrari, Callum Ilott.

Kecemerlangannya ternyata berbaloi apabila diberi peluang melangkah kali pertama ke dunia Formula 1 di Tuscany.

''Prestasinya di Formula 2 musim ini sangat bagus,'' kata prinsipal pasukan Ferrari, Mattia Binotto kepada media Jerman, BILD bulan lalu.

''Tugasnya untuk memperbaiki dan menunjukkan kemajuan. Dia melakukannya. Kami akan berbincang selepas ini apa yang kami boleh lakukan untuknya tahun depan.

''Dia yang baru berusia 21 tahun milik akademi belia Itali. Buat masa ini mungkin bersama pasukan F1 yang lebih kecil di mana dia boleh mengetahui banyak perkara dari semasa ke semasa.''

Kejayaan Schumacher sebelum ini termasuk menjuarai Kejuaraan Formula 3 Eropah yang melayakkan dia menyertai kejohanan Formula 2 tahun lalu.

Mick menjuarai Formula 2 di Monza dan merapatkan jurang mata dengan Ilot walaupun terbabit nahas ketika kelayakan. Bercakap mengenai kejayaannya minggu lalu, Schumacher berkata: ''Saya sangat gembira dengan keputusan ini.

''Saya fikir pasukan melakukan tugas dengan cemerlang untuk membolehkan jentera kembali berlumba selepas insiden nahas ketika kelayakan. Ketika anda mahukan kejayaan, anda sudah tentu mahu memperbaiki diri. Saya pula terlalu memaksa diri dan akhirnya luar kawalan dan menghentam tembok.

''Apapun, perlumbaan ini untuk mereka. Kami sebagai pasukan berhak dengan kejayaan ini. Ia benar-benar perlumbaan yang bagus, semuanya mengikut perancangan dan saya sangat gembira.''

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 7:50am
d