arena

Mendy perkasa gawang Chelsea

Oleh Agensi

CHELSEA meneruskan pesta pembelian mereka dengan terkini menambahkan Edouard Mendy ke dalam skuad mereka.

Penjaga gol dari Senegal yang berketinggian 1.9 meter hampir pasti menyertai kelab barat London itu dengan harga £25 juta (RM135 juta) sekali gus melengkapkan putaran hidup pemain berusia 28 tahun itu.

Hanya enam tahun lalu, Mendy yang juga sepupu bintang Real Madrid, Ferland Mendy tidak bekerja selepas tamat kontrak bersama kelab liga empat Perancis, Cherbourg.

Dia yang berusia 22 tahun ketika itu kemudiannya ditawarkan kontrak oleh beberapa kelab dengan tawaran dari League One paling lumayan.

Bekas ejennya meyakinkan perjanjian itu telah lengkap tetapi Mendy mendapati dia tertipu dan kontrak tidak seperti diharapkan.

Insiden itu menyebabkan pemain berbakat besar itu tidak bekerja dan hampir bersara daripada bola sepak.

"Sebagai pemain bola sepak atau sesiapa sahaja, tidak bekerja seperti satu tamparan ke muka anda,'' kata Mendy.

"Kegagalan demi kegagalan boleh membuatkan anda gila.''

Namun, Mendy tidak patah semangat dengan mencuba nasib bersama pasukan ketika zaman remajanya, Le Havre.

Dia berlatih bersungguh-sungguh selama setahun tanpa gaji sehinggalah bekas rakan sepasukan memberitahu Marseille mencari penjaga gol menggantikan Julien Fabri dan Brice Samba yang dipinjamkan ke pasukan lain.

Dia berlatih bersama pemain antarabangsa Perancis, Steve Mandanda dan beraksi dalam skuad B.

"Saya mencapai tahap baharu di Marseille," katanya. ''Saya berlatih bersama pemain profesional, sesuatu yang tidak dijangka buat penjaga gol nombor empat.''

Dalam usahanya beraksi lebih kerap dia berpindah ke kelab Ligue 2, Reims pada 2016 dan kemudiannya berpindah ke Rennes dengan harga hanya £3.5 juta (RM18 juta) musim lalu.

Prestasinya terus meningkat selepas itu apabila membantu kelabnya menduduki kelompok tiga teratas selain rekod bersih dalam sembilan perlawanan.

Kecemerlangannya itu menarik perhatian legenda Chelsea, Petr Cech yang mengesyorkan Blues membuat apa sahaja untuk mendapatkan penjaga gol itu.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 9:33am
d