arena

Tok Gajah berdepan PDRM tanpa Nwakaeme

Oleh Asrol Awang

KAPTEN Pahang, Dickson Nwakaeme sah tidak beraksi pada perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Perkara itu disahkan oleh pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh susulan kecederaan pada lutut kanan yang dialami penyerang kelahiran Nigeria itu.

"Saya boleh sahkan bahawa Nwakaeme tidak akan bermain Sabtu ini kerana sedang bergelut dengan kecederaan dan sukar untuk pulih dalam tempoh terdekat ini.

"Ketiadaan dia di bahagian serangan akan memberi kesan di bahagian serangan ketika pasukan begitu mengharapkan kemenangan selepas tewas pada dua perlawanan berturut-turut.

"Namun, diharapkan tanpa Nwakaeme sekali pun misi untuk mengutip tiga mata akan mencapai kenyataan dalam usaha memperbaiki kedudukan lebih baik," kata Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan. Difahamkan, Nwakaeme mengalami kecederaan ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bertambah serius selepas aksi menentang UiTM FC.

Tanpa penyerang import itu sudah pasti memberi tamparan buat skuad Pahang terutama di bahagian serangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada JDT (2-3) dan UiTM (0-1).

Kemenangan sahaja dapat mengelak Pahang yang kini berada di tempat kelapan liga daripada terus terjunam ke dasar liga.

Ditanya mengenai perkembangan Ivan Carlos yang turut berdepan masalah kecederaan, Dollah berkata, sama ada penyerang import dari Brazil itu akan diturunkan belum diketahui.

"Peluang Carlos beraksi 50-50 kerana hanya menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 6:50pm
d