arena

PKBM terima tajaan RM50,000

Oleh Saiful Affendy Sapran

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menarik nafas lega selepas menerima sumbangan penajaan RM50,000 untuk Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 dari 18 hingga 20 September ini.

Ia sekali gus membuktikan badan induk itu masih mampu menarik minat penaja sekalipun berdepan pelbagai kemelut.

Paling menarik, kerajaan negeri Melaka turut berjanji akan membantu menyalurkan bantuan kewangan bagi memastikan Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia yang diserahkan hak penganjurannya kepada Melaka pada saat akhir berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berjanji akan memperuntukkan bantuan kewangan sekalipun kerajaan negeri berdepan pelbagai masalah akibat pandemik Covid-19 kerana kejohanan itu penting untuk sektor domestik tempatan.

"Saya akan pastikan ada bantuan diberikan kepada Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020. Bagaimanapun saya mahu semua SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi kerana pandemik Covid-19 masih berleluasa. Kita belum juga temui vaksinnya lagi," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM.

Penajaan RM50,000 diserahkan kepada PKBM dan disaksikan oleh Sulaiman, Setiausaha Agung PKBM, Datuk Ashakari Abu Noor dan Pengarah Urusan Harp Tech Solution (M) Sdn Bhd, Alvin Lim.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab gembira kerana masih ada pihak swasta tampil memberi penajaan dan menyifatkannya umpama talian hayat terbaharu buat persatuan.

"Kami rasa seolah-olah kembali bernafas. Sepanjang Covid-19 kami tidak dapat anjurkan sebarang kejohanan. Tiada kejohanan, bermakna kami tidak dapat punca pendapatan.

"Apabila bersetuju untuk anjurkan Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia, barulah kami sedar beban kewangan. Kita pilih Melaka kerana ia tawarkan laluan yang sesuai.

"Namun oleh kerana Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia ialah sebuah kejohanan yang mesti diadakan pada setiap tahun mengikut arahan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), kita kena teruskan penganjuran. PKBM mungkin didenda jika gagal (anjurkannya)," katanya.

Kejohanan itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 18 September membabitkan acara lebuhraya, ujian masa individu dan ujian masa berpasukan.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 8:06pm
d