arena

Jurulatih hoki wanita diketahui 26 September

Oleh Saiful Affendy Sapran

PENCARIAN ketua jurulatih skuad hoki wanita bakal berakhir selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan akan membuat pengumuman mengenai pengganti Muhammad Dhaarma Raj Abdullah pada mesyuarat Lembaga Eksekutif pada 26 September ini.

Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr S Shamala berkata, badan induk itu sudah sampai ke peringkat akhir pemilihan selepas menemuramah empat jurulatih sebelum ini.

"Kami sudah temuramah empat calon membabitkan dua calon tempatan dan dua lagi luar negara. Untuk calon luar negara iaitu dari Belanda dan England, kami melakukan temuramah secara dalam talian.

"Langkah seterusnya adalah untuk mengemukakan nama calon itu pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan 18 September ini. Kemudian ia akan dibawa ke mesyuarat Lembaga Eksekutif yang seterusnya akan mengumumkan jurulatih baru itu," katanya.

Jelas Shamala, pengumuman jurulatih baharu agak lewat kerana banyak perkara perlu dilakukan secara terperinci selain sukar untuk membuat pilihan kerana kesemua calon berkualiti tinggi.

"Jurulatih yang hadir nanti perlu mempunyai pakej lengkap termasuklah tahu apakah sasaran kami terutamanya untuk memburu kejayaan di Sukan Asia 2026.

"Paling penting adalah mereka mempunyai rekod pernah membimbing skuad wanita dan mempunyai perancangan tersusun.

"Selain itu kami juga mahukan jurulatih yang dapat memahami karakter barisan pemain negara," katanya.

Kerusi ketua jurulatih skuad wanita kosong apabila Dhaarma tidak memohon semula selepas MHC mengiklankan dan membuka permohonan jawatan itu yang berakhir Februari lalu.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 8:34pm
d