arena

Super KIP, Pescao mahu bangkit

Oleh Saiful Affendy Sapran

GRAND Prix (GP) San Marino di Litar Misano akan menjadi detik kebangkitan semula kepada dua pelumba negara, Khairul Idham Pawi serta Hafizh Syahrin Abdullah selepas melalui detik sukar sepanjang tempoh rehat Kejohanan Motosikal Dunia dua minggu lalu.

Khairul yang beraksi bersama Petronas Sprinta Racing dalam kelas Moto3, baru pulih selepas melakukan pembedahan memotong jari kelingking kanan yang menyaksikannya tidak dapat beraksi di GP Styria, 23 Ogos lalu.

"Saya masih berasa sakit sedikit di tempat pembedahan. Saya sememangnya teruja untuk kembali berlumba tetapi saya juga tahu perlu menyesuaikan diri dengan jentera.

"Saya melalui proses pemulihan agak pendek selepas pembedahan, jadi saya tak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi. Saya hanya mahu melihat bagaimana keadaan jari apabila berlumba," katanya.

Sensasi Moto2 negara dari pasukan Oceanica Aspar, Hafizh Syahrin pula hampir pulih daripada kecederaan selepas terbabit dengan kemalangan ngeri di GP Austria 16 Ogos lalu.

Seperti Khairul atau Super KIP, Hafizh juga direhatkan pada GP Styria kerana disahkan tidak cergas untuk berlumba.

Lebih menyukarkan Hafizh atau nama gelarannya El Pescao selepas neneknya, Arbaieah Mohammed menghembuskan nafas terakhir Isnin lalu.

"Saya sememangnya tak sabar untuk beraksi semula selepas terlepas perlumbaan terakhir kerana kemalangan di Austria.

"Saya menggemari Litar Misano tetapi masih tidak tahu apakah keadaan sebenar saya. Segala-galanya akan dapat dilihat selepas sesi latihan bebas pertama," katanya.

Selepas enam pusingan, Super KIP masih gagal memungut mata manakala Hafizh sudah mengumpul 17 mata.

Disiarkan pada: September 10, 2020 @ 10:52pm
d