arena

Kedah terus buru tiga mata

Oleh Izzali Ismail

KEDAH dilihat tetap bersemangat memberi aksi terbaik dalam usaha memburu kemenangan keempat apabila turun menentang Felda United (FUFC) untuk aksi perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, Pahang esok.

Skuad Lang Merah memulakan perjalanan ke Jengka hari ini selepas pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendapat kelulusan keluar kawasan Kota Setar berikutan tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar.

Ketua jurulatih skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak berkata, skuadnya tetap bersemangat dan akan cuba beri aksi terbaik untuk mendapatkan tiga mata di tempat lawan.

"Walaupun kemenangan tiga kali berturut-turut yang dikutip sebelum ini memberi suntikan semangat kepada semua pemain, namun kami tetap perlu berhati-hati dan elak berasa selesa untuk memburu tiga mata seterusnya.

"Kami tetap perlu berusaha dengan lebih gigih jika mahu mengekalkan kedudukan di tangga ketiga dalam carta liga dan sasaran tiga mata ini sangat penting buat kami kerana beberapa pasukan lain kini juga mengikuti rapat dan boleh memintas pada bila-bila masa," katanya.

Aidil tetap menganggap tugas berdepan FUFC di tempat lawan kali ini adalah satu lagi ujian sukar buat skuadnya yang akan beraksi di atas padang tiruan.

"Beraksi dalam keadaan padang berbeza sedikit sebanyak bakal memberi kesan dalam pergerakan. Pemain perlu mengekalkan tahap kecergasan lebih tinggi untuk tempoh 90 minit perlawanan nanti.

"Selain itu, Felda yang belum mencapai kemenangan dalam tiga perlawanan lalu, pastinya akan bangkit memburu kemenangan dengan aksi penuh mereka di laman sendiri dan ini juga satu cabaran besar buat kami," katanya.

Kedah kini menghuni tangga ketiga Liga Super di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) dengan mengutip 10 mata sementara Felda United pula di tangga ke-10 dengan mengumpul enam mata melalui enam perlawanan yang berlangsung setakat ini.

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 3:15pm
d