arena

Maloney akur penangguhan Kejuaraan AFC B-19

Oleh Firdaus Hashim

PENANGGUHAN Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 19 (B-19) tahun di Uzbekistan bulan depan diterima dengan hati terbuka oleh pengendali skuad muda negara, Brad Maloney.

Jurulatih dari Australia itu berkata, meskipun anak buahnya sudah menjalani latihan cukup rapi sejak 6 Julai lalu, ia tidak mematahkan semangat pasukan yang akan tampil lebih bersedia apabila dilangsungkan nanti.

Katanya, penangguhan sehingga awal tahun 2021 itu memberi kesempatan buat skuad kendaliannya melakukan persiapan lebih rapi.

"Sesuatu yang cukup baik untuk pasukan ini apabila kami dapat berlatih bersama sepanjang kem latihan pusat Fasa 1 dan Fasa 2.

"Tapi apabila pengumuman penangguhan ini dibuat oleh pihak AFC demi kesihatan dan keselamatan semua pemain dan pegawai pasukan, kita perlu menghormatinya.

"Kemudian nanti apabila kita sudah mendapat tarikh baharu kejohanan pada 2021 itu, kita akan memuktamadkan semula perancangan pasukan," katanya.

Pada saingan itu, skuad muda negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama bekas juara 2014, Qatar selain Tajikistan dan Yaman.

Bagaimanapun, saingan yang dijadualkan berlangsung dari 14-31 Oktober itu terpaksa ditangguhkan ekoran situasi semasa pandemik Covid-19 yang masih tidak menentu di negara tuan rumah, Uzbekistan.

Selain itu, kesukaran beberapa negara bertanding dalam mendapatkan kebenaran daripada kerajaan masing-masing untuk melakukan penerbangan ke keluar negara turut menyukarkan pergerakan pasukan.

Ia sekali gus menyaksikan AFC tidak dapat meneruskan perancangan untuk mengadakan pusingan akhir kejohanan berkenaan mengikut tarikh yang ditetapkan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 6:36pm
    d