arena

Piala Thomas bakal hilang prestij

Oleh Ferzalfie Fauzi

KEPUTUSAN terkini Korea Selatan menarik diri dari menyertai Piala Thomas/Uber 2020 memberi tekanan buat Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Badan induk dunia itu juga disaran agar menunda kejohanan itu selepas beberapa negara mengambil keputusan menarik diri sebelum kejohanan itu berlangsung pada 3 hingga 11 Oktober ini.

Sebelum ini, Taiwan, Australia dan Thailand sah tidak akan menyertai kejohanan berpasukan yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark kerana bimbang dengan pandemik Covid-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

Malah terdapat ura-ura bahawa dua kuasa besar badminton dunia, Indonesia dan China turut dilaporkan akan mengumumkan menarik diri daripada menyertai kejohanan itu.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek berkata, prestij kejohanan yang dianggap sebagai Piala Dunia untuk sukan badminton itu bakal hilang dengan penarikan diri beberapa pasukan utama.

"Kalau sudah sampai empat pasukan menarik diri, lebih baik tunda sahaja.

"Thailand dan Taiwan boleh dianggap pasukan yang kuat untuk saingan Piala Thomas dan Uber tetapi apabila mereka menarik diri dan digantikan dengan pasukan lebih rendah kedudukan rankingnya, sudah pasti kualiti itu kurang," kata Rashid yang juga bekas jurulatih perseorangan lelaki negara.

Menurutnya, pasukan yang muncul juara nanti tidak akan berasa puas jika semua pasukan utama tidak mengambil bahagian.

Sebelum ini BWF difahamkan menghantar jemputan kepada Hong Kong dan Singapura bagi menggantikan pasukan yang menarik diri namun ditolak kedua-dua negara berkenaan.

Hanya Finland dikatakan menerima untuk beraksi dalam saingan Piala Thomas manakala Sweden untuk aksi Piala Uber.

Rashid, berkata BWF perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan pemain dan pegawai berbanding memikirkan mengenai kerugian yang mereka akan tanggung sekiranya membuat keputusan menunda saingan Piala Thomas/Uber tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 6:47pm
    d