arena

KBS, BAM pantau perkembangan Piala Thomas

Oleh Ferzalfie Fauzi

TUNGGU dan lihat perkembangan terkini mengenai penarikan diri negara yang mengambil bahagian di Kejohanan Badminton Piala Thomas/Uber 2020.

Disamping meneruskan latihan seperti biasa itulah yang akan dilakukan skuad negara mengenai status penyertaan pasukan dalam kejohanan berpasukan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, buat masa sekarang beliau akan sentiasa berurusan dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perkembangan terkini kejohanan itu.

"Cuma saya hendak maklumkan kita masih lagi dalam penelitian dan pemerhatian. Belum ada keputusan muktamad oleh pihak BAM, walaupun mereka sudah bersedia (untuk menghantar pasukan)," katanya ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Felo Korporat 2020.

Menurutnya, terdapat satu atau dua negara akan membuat keputusan esok.

"Saya difahamkan mengikut apa yang disebut, kalau ada satu atau dua negara daripada empat pasukan teratas menarik diri mereka (tuan rumah) terpaksa mengambil keputusan untuk menangguhkannya.

"Tapi, pada waktu ini tidak ada lagi keputusan dari empat negara berkenaan, saya difahamkan Indonesia akan menetapkan pendirian mereka esok," katanya.

Kata Reezal, buat masa sekarang mereka hanya menunggu kerana masih ada tempoh sebulan lagi sebelum kejohanan itu dilangsungkan. "Tidak ada halangan cuma perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh MKN," katanya.

Korea Selatan menjadi negara terbaru mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai kejohanan yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini.

Sebelum ini, Taiwan, Australia dan Thailand sah tidak akan menyertai kejohanan berpasukan yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark kerana bimbang dengan pandemik Covid-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

Sementara itu, Reezal berkata, skuad Bawah 19 tahun (B-19) tetap disarankan untuk meneruskan persiapan seperti biasa walaupun Kejuaraan Konfederasi Asia (AFC) B-19 ditunda selepas mesyuarat barisan tertinggi badan induk bola sepak Asia semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 7:27pm
    d