arena

Roglic kekalkan jersi kuning

Oleh AFP

PRIMOZ Roglic mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Tour de France dengan Daniel Martinez meraih kemenangan pertama peringkat perlumbaan untuk pasukan Amerika Syarikat (AS), Education First selepas mengharungi cabaran pendakian.

Juara bertahan, Egan Bernal ketinggalan 37 saat di belakang dua seteru utamanya yang juga gandingan Slovenia, Roglic dan Tadej Pogacar selepas mengharungi peringkat perlumbaan ke-13 sejauh 191.5 kilometer (km) merentasi rantaian gunung berapi Cantal.

Martinez menerima cabaran sengit untuk memenangi peringkat perlumbaan itu selepas diekori rapat dua pelumba Bora, Maximilian Schachmann dan Lennard Kamna.

Bagaimanapun pelumba Colombia itu berjaya mengerah tenaganya untuk melintasi garisan penamat selaku pemenang.

"Saya berjaya bertahan dan memenangi perlumbaan ini dengan pecutan di saat akhir," katanya.

Martinez juga pernah memenangi aksi pemanas badan Tour de France, Criterium du Dauphine bulan lalu serta peringkat perlumbaan antara Paris-Nice.

"Saya beraksi dengan baik di kesemua perlumbaan itu tetapi memenangi peringkat perlumbaan di Tour de France adalah satu tahap yang amat berbeza," kata pelumba berusia 24 tahun itu.

Sementara itu Roglic kini selesa dengan kelebihan 44 saat mendahului Pogacar manakala Bernal jatuh di kedudukan ketiga ketinggalan 59 saat dalam perebutan jersi kuning.

"Ia hari yang cemerlang untuk Slovenia. Kami berdua berjaya mengatasi beberapa pelumba Colombia.

"Apapun saingan ini belum berakhir. Cabaran daripada Bernal juga belum berakhir tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan soal itu," kata Roglic.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 8:35am
d