arena

Kenali petinju paling banyak kalah

Oleh Agensi

PETINJU paling teruk di Britain akan kembali beraksi di gelanggang dengan misi yang hanya pernah berjaya dilakukannya sebanyak dua kali dalam tempoh 11 tahun, iaitu memenangi pertarungan.

Robin 'Rockin' Deakin akhirnya memutuskan untuk bersara sebaik perlawanan terakhir itu selepas sekian lama mengalami kekalahan sepanjang kariernya.

Deakin mempunyai rekod 53 kekalahan sepanjang 55 perlawanan profesional.

Dia memenangi perlawanan profesional pertama di bawah promoter Frank Warren pada 2006 tetapi terpaksa menunggu sehingga sembilan tahun selepas itu untuk melakar kemenangan kedua.

Kehidupan petinju berusia 33 tahun itu hampir sama seperti Anthony Crolla yang kehilangan tempat tinggal, mengalami kemurungan tetapi kemudian menjadi selebriti di Sepanyol.

"Peranan saya adalah keluar beraksi dan kemudian ditewaskan demi untuk kelangsungan hidup.

"Saya tak dapat apa-apa selain tewas dan mengalami kecederaan di otak. Saya melabelkan diri saya sebagai seorang pejuang yang pergi berperang tidak kira sama ada sudah bersedia atau sebaliknya.

"Saya adalah juara dunia di hati saya. Sama ada saya akan diingati sebagai petinju paling terbaik atau teruk, saya tidak kisah," katanya.

Pertemuannya dengan Mark Handley di O2 Arena akan menjadi penampilan terakhirnya di atas gelanggang tinju.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 12:48pm
d