arena

Nafuzi tetap puji aksi pemain

Oleh Malik Muhamad

"KITA bukan kalah dengan mudah," Demikian reaksi pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain selepas pasukannya tewas tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi ketujuh saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, semalam.

Nafuzi akui anak buahnya sudah memperagakan aksi terbaik sepanjang perlawanan itu, namun kesilapan mudah pada awal permainan mengundang padah selepas dihukum pemain kelahiran Dungun, Safawi Rasid pada minit kelima perlawanan.

"Keseluruhan permainan yang ditunjukkan pemain saya gembira dan bangga, walaupun kita tewas, tapi kita bukan kalah dengan mudah, pemain berjuang dari minit pertama hingga ke 90 minit.

"Selepas JDT menjaringkan gol, saya lihat pemain betul-betul bermain, babak kedua kita lebih banyak menguasai permainan, bermain dengan JDT semua tahu kekuatan pasukan itu.

"Saya rasa dengan apa yang dipamerkan pemain malam ini (semalam) mungkin setanding atau lebih baik daripada JDT, jadi saya harus berbangga dengan mereka," katanya.

Ketika ditanya adakah anak buahnya terlalu menghormati pasukan lawan pada awal permainan sehingga melakukan kesilapan, Nafuzi tidak menafikannya.

"Mungkin di awal permainan pemain terlalu menghormati JDT, hilang keyakinan diri, jadi kesudahannya kita dihukum hasil kesilapan kita sendiri.

"Jaringan yang diperolehi JDT adalah kesilapan komunikasi antara pertahanan dengan penjaga gol, tapi saya tidak menyalahkan mana-mana pemain. Dalam bola sepak jika kita buat kesilapan mudah akan dihukum.

"Lebih menyukarkan apabila penyerang, Dominique da Sylva tidak diberi ruang, tapi saya lihat semua pemain berkeyakinan dan kita boleh lihat bagaimana kami tewas," katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 2:00pm
d