arena

Nur Amirul cuba pertahan gelaran

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Juara bertahan kategori lebuh raya Kejohanan Berbasikal Kebangsaan tahun lalu, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dari Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) bakal beraksi pada kejohanan sama di Melaka pada 18-20 September ini.

Ahli Majlis Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Norazman Abu Samah berkata, Nur Amirul pastinya mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Selangor tahun lalu.

Namun dia bakal dicabar lain yang membabitkan penyertaan semua pasukan negeri dari seluruh negara selain (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC).

Beliau berkata, lebih menarik kejohanan bakal mempertandingkan acara lebuh raya kategori master buat pertama kali selain ujian masa berpasukan dan elit.

"Perlumbaan dijangka akan bermula dan berakhir di rumah Melaka di Bukit Katil dengan melalui beberapa laluan utama termasuk Gapam, Melaka Perdana, Ayer Molek dan Tehel.

"Antara pelumba lain yang mengesahkan penyertaan termasuk Muhsin Al Redha Misbah dan pelumba kebangsaan Nik Mohd Azwan Zulkifli (PDRM). Apa yang pasti saingan amat menarik dengan penyertaan ramai atlit kebangsaan dan remaja," katanya.

Norazman berkata, kejohanan setiap tahun itu kali ini agak berbeza dengan penganjuran sebelum ini berikutan pelumba perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sementara itu, beliau juga berterima kasih kepada Syarikat Harp Tech Solution (M) Sdn Bhd yang menyerahkan sumbangan RM50,0000 kepada PKBM di Pejabat Ketua Menteri Melaka kelmarin.

Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali berkata, menyaksikan majlis penyerahan sumbangan berkenaan yang disampaikan syarikat berkenaan kepada Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Melaka (PBNM), Datuk Abu Samah Wahab.

Hadir sama Setiausaha Kehormat Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Ashakari Abu Noor.

Menurutnya, beliau amat mengalu-alukan supaya lebih banyak syarikat untuk tampil memberikan sumbangan kepada persatuan sukan dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan serta aktiviti di peringkat akar umbi khususnya di negeri Melaka.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 6:23pm
d