arena

Arsenal hancurkan harapan Fulham

Oleh AFP

London: Arsenal bermula garang pada aksi pembukaan musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila jaringan penampilan sulung Gabriel Magalhaes membantu kelab London itu mengalahkan Fulham 3-0 sebentar tadi.

Selepas musim lalu berakhir dalam tempoh 48 hari, EPL kembali dan Arsenal memberikan persembahan pembukaan yang meyakinkan sama seperti sebelum ini ketika Mikel Arteta mengambil alih selaku pengurus pasukan.

Serangan bertali arus dan tersusun ternyata memberi kesukaran buat pasukan yang baru saja kembali ke EPL, Fulham dan mereka dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat melalui Alexandre Lacazette pada minit kelapan.

Pertahanan baru kelahiran Brazil, Gabriel menambah gol kedua Arsenal selepas rehat dalam aksi sulungnya bersama The Gunners selepas berpindah dari Lille.

Pierre Emerick Aubameyang mengesahkan kemenangan Arsenal melalui rembatan padu sekali gus membuktikan bahawa Arsenal sangat memerlukan pemain antarabangsa Gabon itu.

Arteta berkata, kebimbangan penyokong Aubameyang akan meninggalkan pasukan tidak mendatangkan masalah buatnya kerana dia yakin ketua pasukannya itu bakal bersetuju dengan kontrak baru.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 10:02pm
d