arena

Vinales sambar petak utama GP San Marino

Oleh AFP

San Marino: Maverick Vinales mencatatkan rekod baru di Litar Marco Simoncelli untuk membolehkannya meraih petak utama di Grand Prix (GP) San Marino tatkala Yamaha menguasai empat petak teratas menjelang perlumbaan esok.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu, yang terpaksa melompat dari jenteranya dengan kelajuan 210 kilometer per jam (km/j) kerana masalah brek di GP Styria bulan lalu, memberikan aksi mantap dengan mencatat masa 1 minit 31.411 saat (s) pada pusingan terakhir mengetepikan rekod lama 1:31.629s.

"Kami mempunyai strategi yang bagus, tidak membazirkan tayar pada kelayakan kedua. Saya berasa sangat teruja. Ia memang luar biasa, dan kami akan cuba memberikan aksi paling maksimum esok," katanya yang meraih petak utama buat kali ke-11 sepanjang karier.

Vinales berjaya mengetepikan pelumba pasukan satelit Yamaha Petronas SRT, Franco Morbidelli, manakala ketiga terpantas adalah rakan sepasukan Morbidelli dan juga pendahulu keseluruhan, Fabio Quartararo.

Pelumba veteran, Valentino Rossi, yang mencatat masa terpantas pada sesi latihan ketiga di sebelah pagi, melengkapkan penguasaan Yamaha di kedudukan keempat terpantas.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 10:19pm
d