arena

Negeri Sembilan menang di Paroi

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila melakar kemenangan ketiga musim ini, selepas menewaskan Selangor II, 2-1, dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Skuad Hobin Jang Hobin yang sedikit tertekan selepas tewas kepada Pulau Pinang minggu lalu, dilihat bertindak awal apabila pantas melancarkan serangan ke kubu lawan sebaik perlawanan dimulakan.

Akibat satu pergelutan dalam kawasan pintu gol Negeri Sembilan pada minit ke-12, tuan rumah terpaksa mengeluarkan pemain pertahanan yang juga kapten pasukan, Norhafiz Zamani Misbah kerana mengalami kecederaan.

Situasi itu bagaimanapun jelas tidak menjejaskan perancangan dan rentak tuan rumah untuk mendapatkan jaringan dan hasilnya mereka mendapat peluang menerusi serangan Jose Almir Neto pada minit ke-18.

Penyerang dari Brazil itu melakukan gerakan solo ke kawasan tengah serta berjaya melepasi pertahanan Selangor II, namun sepakannya sedikit tersasar ke kiri pintu gol pelawat.

Pelawat yang melakukan satu serangan balas berjaya menjaringkan gol pertama mereka yang dilakukan pemain pertahanan, Quentin Cheng Jiun Ho pada minit ke-28.

Dia bijak memanfaatkan bola hasil hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan dengan menanduk kemas menewaskan Mohd Kaharuddin Abd Rahman.

Jaringan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila berselang seminit kemudian, Almir Neto berjaya menebus kesilapannya apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-29, sekali gus menewaskan, Mohd Firdaus Irman Fadhil.

Dalam usaha memburu kemenangan kedua di laman sendiri selepas berjaya menafikan kehebatan Terengganu FC II (TFC II) pada 28 Ogos lalu, Negeri Sembilan dilihat meningkatkan lagi tekanan kepada Selangor II sebaik separuh masa kedua dimulakan.

Skuad bimbingan Sazali Saidon itu yang amat dahagakan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta, melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan, namun beberapa percubaan menerusi Almir Neto dan Igor Luiz, tidak menepati sasaran.

Negeri Sembilan mendapat sepakan penalti pada minit ke-86, selepas bola sepakan Jose Almir terkena tangan pemain pertahanan dan Almir yang mengambil sepakan itu tidak menghadapi masalah menewaskan Firdaus Irman.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat dan hasil kemenangan itu membolehkan Negeri Sembilan kini mengumpul sembilan mata selepas menamatkan tujuh perlawanan.

Disiarkan pada: September 12, 2020 @ 11:52pm
d