arena

Dollah lega Tok Gajah menang

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mengakui kemenangan 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam memberi suntikan semangat buat skuad bimbingannya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tiga mata yang diraih selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini amat melegakannya.

"Sangat lega kerana semua pemain ceria sebaik kemenangan memihak kepada pasukan dan tidak seperti yang ditunjukkan pada dua perlawanan sebelum ini.

"Walaupun nampak sukar untuk memenangi perlawanan, saya percaya kemenangan ini membantu meningkatkan keyakinan dan semangat untuk melakar kemenangan pada perlawanan akan datang.

"Apa yang pasti misi tiga mata dan kebangkitan yang diinginkan berjaya diterjemahkan dengan menewaskan PDRM," katanya.

Dollah turut memuji komitmen tinggi yang dipersembahkan pemain muda terutama pada babak kedua perlawanan dalam usaha memastikan The Cops tidak membawa pulang mata.

Katanya, sebaik Herold Goulon dan Ivan Carlos dikeluarkan pada babak kedua akibat kecederaan, mereka berjaya mempertahankan kedudukan itu.

"Walaupun gagal menyekat PDRM daripada menjaringkan gol, tiga mata yang diraih amat bermakna untuk kembali mengutip mata," katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Ivan Carlos dan Mohd Faisal Abdul Halim pada minit ke-36 dan 73 manakala gol PDRM pula hasil jaringan sendiri pemain tengah tuan rumah, Adam Reed minit ke-84.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 1:39pm
d