arena

Harap lebih ramai bintang sertai Everton

Oleh Agensi

JAMES Rodriguez berharap lebih banyak nama besar menyertainya di Everton dalam misi mereka menjadi pasukan kuat untuk musim 2020-21.

James menyertai kelab Liga Perdana dari Real Madrid dengan harga dilaporkan £20 juta (RM106 juta) awal bulan ini yang dianggap pembelian berprofil tinggi untuk Everton.

Dia bergabung semula dengan Carlo Ancelotti, yang pernah melatihnya di Madrid dan Bayern Munich ketika Everton berhasrat memperbaiki kedudukan tangga ke-12 musim lalu.

James, 29, berharap terdapat kemajuan di Goodison Park.

"Kami tak mampu lagi mengalami prestasi naik dan turun. Memang sangat membantu apabila anda mempunyai pengurus berwibawa," katanya kepada Liverpool Echo.

"Kelab membuktikan kesungguhan dengan menandatangani tiga pemain dan harapnya dalam masa beberapa bulan lagi, kami dapat menunjukkan optimis itu.

"Harap selepas ini, lebih banyak nama besar menyertai kami."

James salah seorang daripada empat pemain yang tiba di Everton, dengan Allan, Abdoulaye Doucoure dan Niels Nkounkou turut mengikat kontrak.

Pemain Colombia itu berharap skuad Ancelotti mampu mencabar kelompok empat teratas yang kali terakhir dicapai pada musim 2004-05.

"Kami perlu konsisten dan beraksi pada tahap terbaik jika mahu mengisi empat teratas,'' katanya.

Everton memulakan kempen Liga Perdana menentang Tottenham malam ini.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 6:11pm
d