arena

Melaka berdepan laluan sukar

Oleh Nazri Abu Bakar

SKUAD Liga Super Melaka tetap waspada berdepan cabaran PJ City pada aksi kelapan liga di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Ahad ini.

Pengurus pasukannya, Muhammad Akram Abdullah berkata, walau apapun kedudukan pasukan pelawat di carta liga berbanding Melaka yang kini di tangga keempat cabaran tetap getir menanti skuad tuan rumah.

Menurutnya, dia sedar semangat dan permainan setiap pasukan dalam Liga Super musim ini sangat berbeza, tambahan pula jadual perlawanan yang pendek.

"Tidak terkecuali PJ City yang akan bertandang ke Melaka walaupun beraksi di laman lawan buat mereka. Namun demikian, kami yakin mental pemain kami sangat kuat, sekali gus memotivasikan seluruh pasukan untuk terus menghadiahkan mata berharga buat pasukan.

"Apa yang diharapkan penyokong pasukan akan terus menitipkan ucapan semangat di media sosial dalam terus membakar semangat pemain perlawanan ini dan baki liga," katanya.

Beliau berkata, PJ City juga pasukan yang sukar diramal berikutan mereka mampu bertindak lebih agresif jika pemain sedikit alpa yang boleh menjejaskan kutipan mata maksimum.

Sehubungan itu, dia yakin persembahan pasukan semakin mantap selepas mencatat dua kemenangan dan seri 1-1 berdepan Selangor di Shah Alam, kelmarin.

Baginya, perlawanan di gelanggang sendiri kali ini dilihat sebagai kesempatan terbaik untuk menambah tiga mata dan memperbaiki kedudukan lebih baik.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 10:19pm
d