arena

Akmal, Muhsin ada misi khas

Oleh Ferzalfie Fauzi

KEJAYAAN Nur Amirul Fakhruddin Mazuki merangkul gelaran juara kebangsaan tahun lalu, membuatkan pasukan benua negara, Team Sapura Cycling (TSC) nekad merampas kejuaraan itu.

Nur Amirul pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) bakal berdepan saingan sengit menjelang perlumbaan yang berlangsung 18 hingga 20 September ini.

Pengurus Pasukan TSC, Sayuti Zahit berkata dua pelumba yang dipertaruhkan untuk merampas kejuaraan kebangsaan lebuh raya kali ini ialah Akmal Hakim Zakaria dan Muhsin Al Redha Misbah.

"Pertaruhan kita adalah kepada Akmal dan Muhsin, selepas Muhamad Zawawi Azman akan melangsungkan perkahwinan dan Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff baru keluar dari hospital kerana terdapat masalah darah beku," katanya.

Menurut Sayuti, Akmal dan Muhsin memang sudah melakukan persediaan awal dan melihat keadaan sekarang, kedua-dua pelumba itu bersedia untuk memberi cabaran kepada pelumba TSG serta pelumba dari negeri lain.

"Kita kena faham bahawa kejohanan ini adalah untuk membuktikan siapa pelumba terbaik lebuh raya negara buat masa sekarang, jadi semua pelumba bercita-cita untuk menjadi juara kebangsaan.

"Semua sedang melakukan persiapan terbaik dan saya rasa ia sangat terbuka untuk melihat siapa yang bakal dinobatkan sebagai juara," kata Sayuti yang mempertaruhkan Mohamad Saari Amri Abd Rasim dan Muhammad Nur Aiman Rosli untuk kategori bawah 23 tahun.

Ditanya mengenai laluan pula, Sayuti berkata, pelumba akan melalui permukaan yang sedikit berbukit dan bukannya 100 peratus landai.

"Ia bukanlah laluan lurus, sebab kita akan melalui Gapam. Ada laluan berbukit naik dan turun. Ia memang sangat terbuka untuk sesiapa saja bergelar juara.

"Ini bukan laluan untuk pakar pecut, tapi lebih kepada pelumba yang 'all rounder'," katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2020 @ 11:09pm
d