arena

Lee Mi-rim ungguli ANA Inspiration

Oleh AFP

LEE Mi-rim menjuarai ANA Inspiration selepas membenam eagle di lubang 72 dan menewaskan Brooke Henderson dan Nelly Korda dengan birdie di lubang playoff pertama.

Lee, 29, meraih gelaran kejohanan utama pertama dengan lima bawah par 67 di lapangan Mission Hills di Rancho Mirage, California, awal pagi tadi.

Dia disertai 15 bawah par 273 oleh Brooke dan Nelly yang menjadi pendahulu bersama semalam dan kedua-duanya mencatat 69.

Kekalahan itu jelas mengecewakan pemain Amerika Syarikat, Nelly berusia 22 tahun yang mendahului atau berkongsi pendahulu pada tiga pusingan pertama.

Dengan misi mencari gelaran utama pertama, Nelly mendahului dua pukulan di pusingan awal ke atas Brooke di lubang ke-17 tetapi Lee yang lebih mendominasi selepas itu.

"Sukar mempercayainya. Saya fikir tuah juga membantu saya menang kejohanan ini. Perancangan saya hanya membenam birdie di lubang ke-18 dan apabila masuk, memang mengejutkan saya," kata Lee sambil mengesat air mata sebelum terjun ke kolam Poppie.

"Anda menentang antara pemain terbaik dunia di luar sana dan kecewa juga tewas dengan cara itu,'' kata Brooke pula.

''Saya seperti terlepas banyak putt tetapi Mirim dan Nelly beraksi dengan baik dan saya terus menyaingi mereka, jadi saya gembira.''

Bagi Lee pula, kemenangan itu yang keempat dalam Jelajah LPGA dan yang pertama sejak Kia Classic tiga tahun lalu.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 10:01am
d