arena

Cincin tunang Ronaldo RM3.271 juta

Oleh Agensi

CINCIN pertunangan bernilai £615,000 (RM3.271 juta) yang dihadiahkan bintang Juventus, Cristiano Ronaldo kepada Georgina Rodriguez adalah yang termahal dalam kalangan bintang bola sepak.

Menurut laporan portal yang menyenaraikan cincin pertunangan termahal membabitkan sukan bola sepak, penjaga gol England, Jordan Pickford di tempat kedua dengan harga £500,000 (RM2.66 juta) buat isterinya, Megan Davison.

Ashley Cole di tempat ketiga dengan cincin bernilai £275,000 (RM1.46 juta) buat bekas isterinya, Cheryl.

Tetapi bintang England, Harry Kane hanya di tangga ke-10 dengan cincin bernilai £180,000 (RM957,000) untuk isterinya, Katie Goodland, menurut usahawan emas, Roseanna Croft.

Georgina dan Ronaldo mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun, Alana dan memelihara sepasang kembar, Eva dan Mateo berusia tiga tahun dan Cristiano Jr berusia sepuluh tahun.

Pasangan itu kali pertama bertemu pada 2016 dan Ronaldo dilapor meminta jelitawan Sepanyol itu mengahwininya pada 2018.

Bekas penyerang Manchester United itu yang mendermakan sejumlah besar wang untuk membantu golongan memerlukan ketika krisis koronavirus kerap menegaskan mereka akan berkahwin.

"Dia banyak membantu saya. Sudah tentu saya cintakan dia. Kami akan berkahwin suatu hari nanti, sudah pasti. Itulah impian ibu saya.''

Georgina didapati memakai cincin berlian itu beberapa kali dan pada 2018 dia memberi bayangan telah pun bertunang dengan Ronaldo.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 12:43pm
d