arena

Shafee, Suliana juara boling PSKK

MOHD Shafee Harun dan Suliana Mat Saud muncul juara kategori masing-masing pada Kejohanan Tenpin Boling Jemputan Persatuan Sukan Kebajikan Kakitangan (PSKK), Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertempat di Sunway Megalanes, Petaling Jaya.

Mohd Shafee yang menguasai kategori individu lelaki mencatat 846 jatuhan pin dicabar sengit Mohammad Shafiq Zahari (810) manakala ketiga Mohd Khairul Iskandar (757).

Suliana pula selesa mendahului kategori wanita dengan 723 jatuhan pin diikuti Norbijah Kipli (628) dan Kamariah Moin (614).

Manakala aksi cemerlang Mohd Shafee bersama Nor Lian Abd Hamid dan Mohd Muzaini Kamal turut mengungguli kategori berpasukan campuran yang mencatat 2,021 jatuhan pin mengatasi trio Mohammad Shafiq Zahari, Nor Syafiqa Alia Amran dan Mohd Hamil (1,986) dan ketiga gandingan Mushidi Tompang, Adrina Rosseira, serta Faizal Jalil (1,920).

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mohd Fisol Saud dan Setiausaha PSKK merangkap Pegawai Sukan UiTM, Zambri Abd Kahar.

Mohd Fisol dalam ucapan perasmian kejohanan berkata walaupun berdepan kekangan pandemik Covid-19 dia mengucapkan tahniah kepada peserta dan semua yang terbabit dalam menjayakan kejohanan disamping mematuhi SOP ditetapkan pihak berwajib.

Katanya, selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan kaki tangan dan pengamal media ia sebagai pentas terbaik mencungkil bakat baharu mewakili UiTM pada kejohanan akan datang.

Kejohanan anjuran Pusat Sukan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM dengan kerjasama PSKK membabitkan kategori perseorangan lelaki, wanita dan berpasukan campuran terbuka kepada semua staf universiti berkenaan serta kategori jemputan media yang turut diadakan buat julung kali pada tahun ini.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 7:04pm
d