arena

Ramai lagi bakat perlu dicungkil

Oleh Aida Adilah Mat

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) perlu melakukan sesuatu agar skuad olahraga wanita negara tidak ketandusan bakat menjelang Sukan Sea akan datang.

Ketika Zaidatul Husniah Zulkifli kini sedang berehat panjang selepas menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL), sandaran kini diletakkan kepada pelari senior, Siti Fatima Mohamad dan S Komalam Sally selain juara Sukan Malaysia (Sukma), Azreen Nabila.

Namun bagi pengarah teknikalnya, Dwayne Miller, yakin Malaysia mempunyai ramai lagi bakat yang sebenarnya hanya perlu dicari.

Kata Miller, beliau tidak bimbang situasi skuad olahraga wanita namun menuntut untuk lebih ramai atlet diberi peluang menyertai skuad olahraga negara.

"Malaysia mempunyai banyak bakat di luar sana dan kita hanya perlu cari. Luangkan masa untuk memilih barisan atlet wanita. Mungkin bakat terpendam itu ada di Sabah, Johor atau di negeri lain.

"Cari jalan untuk rekrut dan bentuk mereka. Apa yang perlu sekarang ini keluar dan cari bakat itu," katanya.

Tegas Miller, saiz badan bukan menjadi ukuran kerana itu bukan aspek utama penentu kepada kejayaan seseorang atlet namun tidak menolak perkara itu sedikit sebanyak turut membantu.

"Saiz bukan penentu kerana yang penting adalah hati dan keinginan atlet itu.

"Sejauh mana keinginannya untuk berjaya. Fizikal dan mental serta kecergasan sebenarnya aspek utama," katanya.

Pada Sukan Sea yang lalu, hanya satu emas disumbang oleh atlet wanita menerusi Yeap Sean Yee dalam acara lompat tinggi, perak disumbangkan Norliyana Kamaruddin (heptathlon) manakala dua gangsa dihadiahkan oleh Queenie Ting (lempar cakera) dan Elena Goh (jalan kaki).

Kali terakhir pelari wanita negara meraih pingat dalam acara 100 meter (m) adalah menerusi Zaidatul Husniah yang menghadiahkan perak di Sukan Sea Kuala Lumpur pada 2017.

Kuartet 4x100m campuran yang dibarisi Azreen, Jonathan Nyepa, Husniah dan Nixson Kennedy membawa pulang gangsa di Sukan Sea Filipina.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 8:58pm
d