arena

Kuasa sepenuhnya di tangan Arul

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih barisan pemainnya terutama menjelang saingan Piala Tun Abdul Razak bermula Jumaat ini.

Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Dr S Shamala berkata, pihak pengurusan sudah pun memaklumkan kepada Arul berhubung perkara itu dalam usahanya memilih barisan terbaik tanpa mendapat tekanan daripada mana-mana pihak.

"Segala-galanya terletak di tangan Arul. Kami di pihak pengurusan sama sekali tidak akan masuk campur urusan pemilihan pemain.

"Jika Arul berasakan ada pemain yang menyerlah di Piala Tun Abdul Razak termasuklah yang digugurkan sebelum ini, dia boleh memilih pemain itu jika dia mahu.

"Di pihak pengurusan kami berasakan Arul lebih memahami barisan pemain yang dimahukannya," katanya.

Arul sebelum ini dilaporkan berkata beliau tidak menolak untuk melakukan pemilihan pemain di Piala Tun Abdul Razak sekali gus bakal menyaksikan rombakan dalam kem latihan skuad negara ketika ini.

Mengulas perkembangan Arul sejak membimbing skuad negara menggantikan Roelant Oltmans, Shamala berkata pihaknya berpuas hati dengan corak latihan bekas pemain kebangsaan itu.

"Satu yang menarik mengenai Arul ialah dia cuba untuk memahami hati budi setiap pemain. Dia akan berusaha membentuk hubungan yang baik bersama setiap pemain.

"Lebih penting ialah Arul memahami budaya dan kehendak pemain kerana dia juga adalah bekas pemain kebangsaan. Saya percaya suasana harmoni di dalam pasukan akan menjadikan pemain lebih bersemangat," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2020 @ 9:24pm
d