arena

Saya seperti orang bodoh - Neymar

Oleh AFP

NEYMAR berkata dia bertindak seperti orang bodoh selepas dilayang kad merah ketika menentang Marseille tetapi menggesa pegawai perlawanan lebih tegas membanteras diskriminasi apabila mendakwa pertahanan Sepanyol, Alvaro Gonzalez terbabit isu perkauman.

Penyerang Brazil itu salah seorang daripada lima pemain dibuang padang selepas terbabit pertelagahan besar pada penghujung perlawanan yang menyaksikan PSG tewas 0-1 dalam aksi Ligue 1, semalam.

Dia mendakwa Gonzalez beberapa kali memanggilnya 'monyet'.

PSG menyokong pemain termahal dunia itu tetapi Neymar berkata dia sedia menerima hukuman daripada jawatankuasa disiplin liga Perancis yang dijangka diketahui esok.

"Semalam saya memberontak. Saya dihukum dengan kad merah kerana saya mahu memukul seseorang yang menghina saya," kata Neymar dalam Instagram.

''Saya rasa saya tak boleh biarkan sahaja tanpa berbuat sesuatu kerana saya sedar mereka yang bertugas tidak melakukan apa-apa.''

Neymar dibuang padang selepas menampar belakang kepala Gonzalez dengan rakan sepasukan, Layvin Kurzawa dan Leandro Paredes turut menerima hukuman sama selain pemain Marseille, Dario Benedetto dan Jordan Amavi.

"Dalam sukan, agresif, kasar, sebahagian daripada permainan tetapi perkauman dan tiada toleransi tidak boleh diterima.

"Saya terima hukuman kerana saya sepatutnya bermain dengan bersih tetapi saya berharap juga, pesalah juga turut dihukum,'' katanya.

"Wujud isu perkauman dan kita perlu hentikannya. Cukuplah!"

"Dia memang bodoh dan saya juga bertindak seperti orang bodoh apabila gagal menahan diri daripada terbabit seperti itu.''

Sementara itu, Marseille mengeluarkan kenyataan pertahanan mereka, Gonzalez. Dia menafikan dakwaan Neymar dan menuduh pemain itu panas baran dan hilang sabar.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 9:23am
d