arena

Farah mahu jadi legenda 10,000 meter

Oleh Agensi

JUARA Olimpik empat kali, Mo Farah mengesahkan dia tidak akan menyertai acara 5,000 meter di Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Farah, 37, menjuarai acara 5,000m dan 10,000m di Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016 sebelum memberi tumpuan kepada maraton.

Dia turut mengesahkan akan mempertahankan gelaran 10,000 meter di temasya sukan terbesar dunia itu.

"Saya bukan muda lagi dan saya fikir agenda utama ialah fokus satu acara dan lihat apa yang saya boleh buat,'' kata Farah kepada akhbar portal.

Farah yang kembali ke trek, mencatat rekod baru dunia satu jam di Liga Berlian di Brussels pada 4 September lalu.

Dia kemudiannya mendominasi Maraton Antrim Coast Half di Ireland Utara dan hampir mencatat rekod baru Britain miliknya.

"Saya masih bermotivasi, masih 'lapar' dan saya mahu lebih lagi,'' kata Farah yang mahu muncul atlet pertama menang 10,000 meter di tiga Sukan Olimpik berturut-turut.

"Ia akan menjadi sejarah dan saya telah pun mencatat sejarah dari segi jarak jauh dan saya atlet Britain pertama menang dua gelaran Olimpik berturut-turut,'' katanya.

"Semuanya boleh menjadi kenyataan jika anda bekerja keras, anda mampu mencapainya.''

"Saya masih ingat ketika kecil, tiba dari Somalia pada usia lapan tahun dan tak tahu bahasa Inggeris. Jika seseorang memberitahu saya akan menang banyak pingat dan diberi penghormatan oleh Queen dengan gelaran Sir Mo Farah. Saya tak percaya langsung ketika itu.

''Tapi ia menjadi kenyataan dan ia hasil kerja keras.''

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 12:22pm
d