arena

Piala Presiden uji persiapan pemain

Oleh Ferzalfie Fauzi

TIDAK ke Denmark tapi pemain badminton negara tetap mempunyai misi untuk sentiasa berada dalam keadaan bersedia apabila beraksi dalam saingan Piala Presiden yang bermula esok.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, walaupun Piala Presiden diadakan khas untuk persiapan Piala Thomas dan Uber 2020, namun kejohanan itu tetap dilangsungkan seperti biasa.

"Sebab utama kita tidak membatalkan kejohanan Piala Presiden adalah untuk memastikan pemain sentiasa berada dalam keadaan kompetitif. Lagi pun kita sudah mendapat jemputan dari salah sebuah negara di Asia untuk menganjurkan sirkit Asia atau dikenali sebagai 'Asian Bubble'," katanya.

Kata Norza, negara berkenaan sudah pun menghantar jemputan dan mahukan maklum balas dari pihak BAM.

"Mereka menawarkan diri untuk mengadakan 'Asian Bubble, jadi kita sedang berbincang dan memberi maklum balas kepada mereka. Jadi kita tidak akan ke Aarhus, Denmark tapi akan ke sirkit Asia," kata Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Dalam pada itu, beliau memberitahu Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dan Setiausaha Agung, Datuk Kenny Goh supaya masa yang ada digunakan sebaik mungkin buat pemain untuk mengurangkan segala kelemahan.

"Tiada gunanya kalau kita hanya berlatih di gelanggang tapi tidak menyelesaikan segala masalah berkaitan keyakinan, motivasi. Inilah masanya untuk kita melahirkan pemain yang lengkap," katanya.

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 3:00pm
d