arena

Grealish kekal di Villa hingga 2025

Oleh Agensi

JACK Grealish menandatangani kontrak baharu dengan lanjutan lima tahun bersama Aston Villa untuk menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.

Pemain berusia 25 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan dari kelab yang diminati sejak zaman kanak-kanak pada musim panas ini ketika Manchester United muncul pasukan utama yang berminat mendapatkan tandatangannya.

Bagaimanapun, kapten pasukan itu sudah menyatakan persetujuan secara rasmi dengan kontrak jangka panjang untuk menyaksikan dia kekal di Villa Park hingga 2025.

"Saya sangat berbangga untuk meneruskan komitmen di Villa. Ini adalah kelab saya, rumah saya dan saya sangat gembira di sini," kata Grealish menerusi laman sesawang rasmi kelab berkenaan.

"Pemilik kelab ini sudah menjelaskan kepada saya mengenai impian mereka dan bagaimana mereka mahu membentuk Aston Villa.

"Mereka begitu teruja dengan pelbagai perancangan dan saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada kelab ini."

Disiarkan pada: September 15, 2020 @ 8:31pm
d