arena

Neymar berang di panggil monyet

Oleh AFP

Kerajaan Brazil menghantar sokongan kepada Neymar selepas dia dilayangkan kad merah ketika perlawanan Ligue 1 di Perancis kerana mencetuskan isu 'perkauman' sehingga mencetuskan pergaduhan.

Bintang Paris Saint-Germain berdepan hukuman oleh suruhanjaya tatatertib Liga Perancis selepas menampar pemain pertahanan, Alvaro Gonzalez di penghujung perlawanan yang menyaksikan PSG tewas 0-1 kepada Marseille, menuduh pemain Sepanyol itu memanggilnya 'monyet'.

Gonzalez bagaimanapun menafikan tuduhan itu. Namun kementerian yang bertanggungjawab berhubung masalah hak asasi di Brazil tetap berada di belakang pemain bola sepak termahal dunia itu.

"Semua pihak dalam bidang sukan, kementerian wanita, keluarga dan hak asasi manusia secara terbuka menyatakan solidariti kepada Neymar berhubung perkara itu," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

"Isu perkauman adalah satu jenayah."

Kenyataan itu keluar selepas Presiden Brazil Jair Bolsonaro memberi maklum balas dalam Twiter dengan retweet kenyataan Neymar.

Penyerang Brazil itu menampar belakang kepala Gonzalez pada penghujung perlawanan Ahad lalu, mencetuskan pergaduhan besar yang menyaksikan lima pemain diarah keluar padang termasuk Neymar.

Dia kini berdepan kemungkinan digantung beberapa perlawanan begitu juga Gonzalez jika pegawai liga mendapati kenyataan Neymar itu benar.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 12:51pm
d