arena

Firhan mohon pelepasan Terengganu

Oleh Malik Muhamad

PASUKAN Piala Razak Terengganu terpaksa melupakan khidmat pemain serba boleh, Firhan Ashari selepas pemain itu meminta pelepasan untuk tidak menyertai pasukan pada kejohanan edisi ke-58 yang bermula Jumaat ini kerana masih lagi dalam keadaan bersedih.

Sabtu lalu pemain kelahiran Terengganu berusia 27 tahun itu kehilangan anak pertamanya, Nur Ayra Delisha, dua tahun yang meninggal dunia kerana sawan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang.

Pengurus pasukan Terengganu, Mohd Rafhan Harun berkata, ketiadaan pemain kebangsaan itu sudah pasti dirasai pasukan kerana pemain itu adalah antara tonggak pasukan yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Tai Beng Hai dan pembantunya, Nordin Musa.

"Kita akur dengan permintaan pemain itu (Firhan) yang minta pelepasan untuk tidak beraksi bersama pasukan dalam kejohanan piala ini (Piala Razak) kerana dia masih lagi bersedih selepas kehilangan anak pertama itu.

"Lagipun isterinya kini mengandung, jadi sudah tentu sokongan Firhan begitu diperlukan isterinya dan keluarga yang pasti memerlukan masa untuk bertenang selepas kehilangan insan tersayang itu.

"Ketiadaannya sudah pasti dirasai pasukan yang memerlukan khidmatnya kerana pemain itu mampu beraksi di semua posisi selain penjaga gol, itu kelebihan yang dimiliki pemain kebangsaan itu.

"Tapi kami sudah ingatkan pemain yang bakal beraksi nanti supaya tidak menjadikan ketiadaan pemain itu, (Firhan) sebagai alasan untuk tidak beraksi dengan baik dalam kejohanan berprestij itu," katanya.

Rafhan berkata, musim lalu skuad Terengganu hanya mampu berada di tempat ketiga, tapi sasaran skuadnya pada tahun ini adalah untuk merangkul kejuaraan selepas kali terakhir meraihnya pada 2014.

"Sasaran tahun ini adalah untuk menjadi juara walaupun sedar terdapat beberapa pasukan lain yang juga kuat dan dibarisi pemain negara dan bekas pemain hoki negara seperti pasukan Perak, Kuala Lumpur dan Pahang.

"Jadi pemain perlu sentiasa fokus untuk mencapai matlamat itu kerana berdasarkan barisan pemain termasuk Faizal dan adiknya, Fitri Saari selain Shahrun Nabil, Akhimullah Anuar Esook dan ramai lagi, kita juga berpeluang cerah meraih kejuaraan biarpun tanpa Firhan," katanya.

Terengganu yang diletakkan satu kumpulan dengan PDRM, ATM dan Kelantan, bakal membuat perhitungan pertama bertemu skuad The Corp pada petang Jumaat ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Disiarkan pada: September 16, 2020 @ 8:59pm
d