arena

Kemampuan Pirlo cetus persoalan

Oleh AFP

Sebagai seorang pemain, Andrea Pirlo adalah seorang yang genius namun sebagai jurulatih kualiti bintang Itali dan Juventus itu masih lagi menjadi persoalan.

Beliau akan mula berada di bangku simpan Juve apabila pasukan itu bertemu Sampdoria Ahad ini pada penampilan pertamanya yang diharapkan mampu untuk meraih gelaran liga Itali buat kali ke-10 berturut-turut dan Liga Juara-Juara selepas 25 tahun.

Pirlo diharap mampu untuk melakukan tugas itu sambil mewujudkan gaya permainan yang lebih menarik dalam bola sepak yang sebelum ini dianggap kurang dipraktikkan ketika di bawah kendalian Massimiliano Allegri dan Maurizio Sarri.

Harapan tinggi diletakkan kepada pengendali berusia 41 tahun itu yang hanya mendapat lesen sebagai jurulatih pada Rabu lalu, beberapa hari sebelum musim 2020-2021 bermula.

"Ini adalah Juve, adalah normal untuk menang. Ini yang pemain dan juga jurulatih mahukan," kata Pirlo.

Ketibaannya di Juventus membangkitkan harapan di Itali bahawa dia dapat mengikuti kejayaan bekas pemain bola sepak seperti Zinedine Zidane dan Pep Guardiola yang menjadi pengurus yang berjaya.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 11:57am
d