arena

Bina litar basikal demi keselamatan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang mencadangkan supaya dibina litar basikal di negara ini sebagai salah satu langkah menjaga keselamatan penunggang basikal.

Jelas Azizul, dengan terbinanya litar itu, ia membolehkan peminat sukan berbasikal berkayuh tanpa mengganggu atau diganggu kenderaan lain.

"Tak payah pergi jauh, negara jiran kita Thailand pun dah lama ada litar basikal ini. Boleh google 'Skylane Bangkok' terletak berdekatan Lapangan Terbang Suvarnabhumi, trek berbasikal ini amat popular di Bangkok dan mempunyai jarak 23.5 kilometer (km) satu pusingan.

"Kayuh la sampai lebam kat dalam tu. Korea pun dah lama ada trek khas basikal ini dan mereka lagi hebat, trek yang jaraknya hampir 1,000km dan menghubungkan dari negeri ke negeri lain.

"Peminat sukan basikal boleh berkayuh peringkat demi peringkat ala-ala macam Le Tour de Langkawi dan mereka yang lengkapkan keseluruhan 1,000km itu akan dapat sijil," katanya menerusi status terbaharu di akaun Facebook miliknya.

Azizul turut mengemukakan cadangan lain, iaitu pihak berkuat kuasa perlu duduk berbincang dengan pelbagai pihak untuk hadir dengan satu polisi atau peraturan baharu bagi mereka yang meminati sukan berbasikal.

"Peraturan yang saya maksudkan di sini adalah peraturan ketika berkayuh di lebuh raya, di jalan-jalan kampung, di 'off-road' dan peraturan yang bersangkut paut dengannya," katanya.

Jelas pelumba yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman itu, perlu ada kempen kesedaran mengenai kayuhan dengan selamat dan betul.

"Saya pun tak suka bila tengok rakan-rakan berbasikal lain yang kayuh macam atuk nenek mereka punya jalan kerana ini membahayakan keselamatan dan boleh menimbulkan kemarahan pengguna jalan raya yang lain.

"Tapi saya percaya juga kebanyakan daripada mereka ini tidak mempunyai pengetahuan asas, cara-cara serta peraturan ketika di jalan raya. Maka kita perlulah beri perhatian bab ini," katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 3:29pm
d