arena

Nazrulerwan mahu bawa KUFC ke Piala Malaysia

Oleh BERNAMA

KETUA jurulatih sementara Kelantan United (KUFC) Nazrulerwan Makmor mahu membawa pasukan itu layak untuk beraksi pada saingan Piala Malaysia musim ini.

Nazrulerwan berkata dalam empat baki perlawanan Liga Perdana musim ini beliau mahu meletakkan KUFC berada di kedudukan tiga terbaik sekali gus membuka laluan kepada KUFC untuk layak ke saingan Piala Malaysia.

"KUFC pasukan bagus, mempunyai barisan pemain yang berkualiti mampu memberikan cabaran dan saingan dalam empat baki perlawanan Liga Perdana.

Buat masa ini tiada perubahan yang ketara akan saya lakukan namun memberikan tumpuan kepada kelemahan dan meningkatkan kelebihan pasukan," katanya.

Nazrulerwan dilantik sebagai Ketua Jurulatih KUFC bagi menggantikan Zahasmi Ismail yang direhatkan oleh pengurusan pasukan itu susulan prestasi pasukan itu tidak memuaskan dalam tiga perlawanan terakhir sebelum ini.

Nazrulerwan berkata untuk tumpuan terdekat, beliau mahu memberikan tumpuan terhadap perlawanan menentang pasukan Sarawak United pada saingan Liga Perdana esok.

"Tiada tekanan untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh pihak pengurusan bagi mengendalikan pasukan malah saya mahu menjadikan ia sebagai cabaran.

"Sasaran awal saya esok mahu membawa tiga mata di tempat lawan. Ia amat penting sebagai motivasi untuk melangkah lebih jauh dalam baki perlawanan seterusnya," katanya.

Selepas tujuh perlawanan KUFC kini berada di kedudukan ketujuh carta Liga Perdana dengan memperoleh sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan dan empat kekalahan.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 6:42pm
d