arena

Penjaga gol diserang, ditumbuk

Oleh Syazwan Msar

LAMAN sosial dikejutkan dengan insiden membabitkan beberapa pemain daripada pasukan liga sosial bergaduh dalam perlawanan persahabatan di sebuah padang bola sepak di Shah Alam, baru-baru ini.

Insiden berkenaan yang sempat di rakam seorang individu yang kebetulan berada di tepi padang menunjukkan seorang penjaga gol ditumbuk bertalu-talu oleh pemain pasukan lawan.

Berdasarkan video berdurasi 57 saat yang tular di media sosial itu, beberapa individu cuba meleraikan pergaduhan terbabit namun berlanjutan hingga ke padang sebelah.

Pengurusan padang berkenaan Rhino Arena turut mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi media sosialnya yang akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap insiden berkenaan.

"Rhino Arena komited dalam menjadikan bola sepak sosial sebagai aktiviti yang penuh dengan semangat kesukanan tanpa sebarang keganasan," katanya.

Malah kes berkenaan kini dipercayai sudah menjadi kes polis, dan pihak Rhino KV Arena menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Difahamkan kejadian terbabit kemungkinan berpunca daripada penjaga gol itu yang secara tiba-tiba menyiku penyerang pasukan lawan selepas diasak.

Tindakan itu menyebabkan pengadil tidak mempunyai pilihan selain melayangkan kad merah kepada penjaga gol terbabit.

Bagaimanapun penjaga gol tersebut gagal mengawal emosi dan terus melakukan provokasi ketika berjalan keluar dari padang.

Disiarkan pada: September 17, 2020 @ 8:34pm
d