arena

Duplantis lebur rekod Bubka

Oleh AFP

Rome: Atlet Sweden, Armand Duplantis berjaya mengetepikan rekod legenda Ukraine, Sergey Bubka yang berusia 26 tahun, apabila melakar rekod dunia lompat bergalah dengan catatan 6.15 meter di Liga Diamond.

Duplantis yang sebelum ini pemegang rekod lompat bergalah dalam dewan berjaya memintas catatan 6.14m yang dilakukan Bubka pada Julai 1994 di Itali.

Atlet berusia 20 tahun itu berjaya melakukannya pada percubaan kedua di hujung saingan tatkala dia mendominasi acara berkenaan.

"Saya rasa seperti masih berada di awangan dan anda akan berasa seperti bermimpi. Ia memang luar biasa dan perasaannya sangat menakjubkan. Anda terhempas ke bawah tapi masih terasa seperti berada di awan," kata atlet yang lahir di Amerika Syarikat itu.

Duplantis mencatat rekod dunia dalam dewan Februari lalu dan meletakkan sasaran untuk merakam rekod baru untuk kejohanan di luar dewan sebelum Sukan Olimpik dan Kejohanan Eropah ditunda kerana wabak Covid-19.

"Ia memang menjadi impian saya, (menguasai kedua-dua acara), namun terdapat kekeliruan acara dalam dewan dan di luar.

"Bagaimanapun, saya terfikir apa salahnya mencuba, menguasai kedua-dua dan menghilangkan kekeliruan," kata Duplantis.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 9:01am
d