arena

Terbuka Perancis semakin suram

Oleh AFP

Paris: Terbuka Perancis yang diubah semula jadualnya hujung bulan ini akan hanya membenarkan 5,000 kehadiran penonton setiap hari, iaitu berkurangan daripada jumlah asal 11, 500 orang.

Perkara itu diumumkan oleh penganjur dan ia bertentangan dengan apa yang didedahkan oleh Persekutuan Tenis Perancis (FFT) awal bulan ini yang bercadang untuk membenarkan kehadiran penonton pada 27 September hingga 11 Oktober dengan membenarkan 11,500 orang setiap hari dengan gelannggag Roland Garros dibahagikan kepada tiga zon bebas.

Penganjur Terbuka Perancis sebelum ini pada Julai lalu menyatakan bahawa mereka berharap seramai 20,000 penonton setiap hari dapat hadir ke kejohanan itu iaitu 50 hingga 60 peratus daripada kapasiti asal.

Bagaimanapun, dengan keadaan kesihatan yang semakin merosot di negara berkenaan dan peraturan terkini kerajaan Perancis hanya membenarkan aktiviti pengumpulan orang ramai tidak melebihi 5,000 orang menyebabkan penganjur terpaksa mengubah lagi penetapan mereka.

Sebelum ini (10 hari lalu) pengarah kejohanan, Guy Forget baru saja mengumumkan jumlah penonton yang dibenarkan.

Gelanggang utama, Philippe Chatrier dan Suzanne Lenglen, dihadkan kepada 5,000 penonton dan Simonne Mathieu pula 1,500 orang dan tidak akan ada penjualan tiket di luar gelanggang.

Bagaimanapun, hanya seminggu sebelum kejohanan bermula dan empat hari menjelang aksi kelayakan, penganjur berdepan satu lagi perubahan berikutan kes Covid-19 yang semakin menular di seluruh dunia.

Sebelum ini, secara keseluruhan seramai 75,000 orang dibenarkan untuk menyaksikan kejohanan yang berlangsung selama 15 hari itu dan tahun lalu jumlah kehadiran sepanjang kejohanan mencatatkan 520,000 penonton.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 10:29am
    d