arena

Hatrik Ramadan julang KL

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA Lumpur memulakan kempen Piala Tun Abdul Razak dengan langkah kanan apabila meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Pahang 6-4 hari ini.

Pada perlawanan Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Kuala Lumpur selesa di depan dengan tiga gol selepas 24 minit perlawanan.

Pavandip Singh meletakkan Kuala Lumpur di depan minit ke-5 sebelum Muhamad Ramadan Rosli menambah gol kedua empat minit kemudian dan Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah menyumbang gol ketiga minit ke-24.

Kesemua gol itu terhasil menerusi jaringan padang. Bagaimanapun Pahang berjaya merapatkan kedudukan minit ke-27 hasil pukulan sudut penalti Muhammad Hazzim Amin Hafidz sebelum Muhammad Arif Syafie Ishak menjadikan kedudukan 2-3 minit ke-30 menerusi gerakan sama.

Ramadan kembali mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-32 tetapi Ismail Abu merapatkan merapatkan jurang empat minit kemudian.

Penyerang skuad kebangsaan, Shahril Saabah menyumbang gol kelima menerusi penalti stroke minit ke-41 sebelum Ramadan meraih hatrik sekali gus gol keenam Kuala Lumpur minit ke-52 hasil pukulan sudut penalti.

Muhammad Hafiz Mohd Zauri menambah gol keempat Pahang tiga minit sebelum tamat perlawanan namun ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan pertama Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 7:33pm
d