arena

Cadangan Jijoe boleh diteliti

Oleh Saiful Affendy Sapran

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) terbuka dengan sebarang cadangan untuk memastikan aktiviti berbasikal dijalankan secara selamat sekali gus tidak menjejaskan orang ramai untuk terus meminati aktiviti itu.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, untuk tempoh terdekat pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk membincangkan perkara itu.

"Aktiviti sukan ini mendapat tempat di kalangan bukan saja rakyat biasa tetapi pemimpin dan ahli sukan ternama. Ini adalah satu perkara yang perlu ditangani dengan cara bijaksana.

"Dalam kita nak pastikan mereka berbasikal dan berada dalam keadaan selamat serta tak menjadi ancaman kepada pengguna jalan raya lain, kita juga perlu mencari kaedah yang sesuai.

"Selepas bercakap dengan Menteri Pengangkutan tadi, saya fikir dalam masa terdekat ini, kita mungkin mengadakan sesi libat urus dengan komuniti berbasikal serta pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mendapatkan pandangan.

"Dengan cara ini, kita boleh mencari jalan yang lebih tuntas agar kita tidak mengekang aktiviti sukan berbasikal ini untuk terus dilakukan secara giat dan aktif dan pada waktu yang sama, ia tidak akan membawa kepada sebarang bentuk bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Misalnya, cadangan pelumba berbasikal trek, Azizulhasni Awang tentang membina trek berasingan adalah sesuatu yang boleh kita bincangkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis ISN Inspire hari ini.

Reezal mengulas cadangan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang supaya dibina litar basikal di negara ini sebagai salah satu langkah menjaga keselamatan penunggang basikal.

Jelas Azizul, dengan terbinanya litar itu seperti di negara jiran Thailand, ia membolehkan peminat sukan berbasikal berkayuh tanpa mengganggu atau diganggu kenderaan lain.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 8:06pm
d