arena

Zambuger lunas gaji bekas pemain Kelantan

Oleh Nor Amalina Alias

MASALAH gaji yang dihadapi pegawai dan bekas pemain Kelantan sejak tiga tahun lalu akhirnya terlerai selepas pemilik baru pasukan itu, Norizam Tukiman melunaskan bayaran RM2.4 juta.

Bayaran dibuat secara penuh kepada 15 pegawai dan pemain yang pernah beraksi untuk The Red Warrior (TRW) bagi musim 2017 hingga 2019.

Ini termasuk kepada beberapa bintang bola sepak seperti bekas kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi atau Piya dan pemain lain seperti Khairul Fahmi Che Mat, Branden Gan, Flavio Beck Junior, Bruno Lopez, Alaeddine Bouslimi, Alessandro Celin, Seydi L Imam, Mohd Farisham Shah Rosli, Amiridzwan Taj Tajuddin dan Mohd Nor Farhan Mohamad.

Manakala, bagi pegawai pula, bayaran gaji dibuat kepada Sathit Bensoh, Mohd Hisham Jainuddin, Mohd Hashim Mustapa dan Yusri Che Lah yang juga Ketua Jurulatih pasukan Kelantan ketika ini.

Norizam berkata, pihaknya turut membuat bayaran tunggakan gaji untuk enam bulan terkini bagi pemain dan pegawai pasukan semasa yang beraksi di Liga Perdana membabitkan keseluruhan bayaran RM3.6 juta.

Katanya, bagaimanapun hutang selebihnya membabitkan beberapa lagi pemain dan pegawai akan diselesaikan secara berjadual dan sudah dimaklumkan kepada pihak yang berkenaan.

"Saya bersyukur dapat melunaskan bayaran ini lebih awal dan berharap dengan tindakan ini, TRW dapat diberikan lesen untuk bersaing dalam Liga Malaysia, tahun depan.

"Saya juga mahu dengan bantuan yang diberikan pemain mampu membalasnya dengan memberikan sepenuh tumpuan kepada prestasi permainan," katanya.

Zambuger berkata, dia turut akan memberi perhatian kepada isu tunggakan gaji membabitkan pemain Piala Presiden dan Belia namun terlebih dahulu mahu menyelesaikan kemelut kewangan TRW.

"Bagaimanapun, perbincangan lanjut akan saya buat dengan pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), apa yang penting, sekarang ini saya mahu dapatkan lesen sah untuk TRW mendapat tempat dalam saingan Liga M, musim depan," katanya.

Laman rasmi Facebook kelab itu, TRW Kelantan FC memuat naik kenyataan media berhubung pembayaran gaji berkenaan.

Khabar gembira itu mendapat perhatian pelbagai dari peminat dan tidak ketinggalan yang mengucapkan syabas kepada kepimpinan Zambuger yang baru tiga minggu 'mengepalai' badan induk bola sepak negeri itu dan serius mengotakan janji.

Disiarkan pada: September 18, 2020 @ 9:05pm
d