arena

KJ buat 'comeback'

Oleh Mohd Amin Jalil

SELEPAS lebih dua tahun tidak terbabit dalam bidang sukan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kembali aktif apabila dipilih sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) bagi sesi 2020-2022.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dipilih sebulat suara oleh ahli jawatankuasa PLBNS pada Mesyuarat Agong Tahunan 2020 yang berlangsung di d'Tempat Bandar Seri Sendayan, hari ini.

Beliau mengambil alih jawatan itu selepas penyandang, Datuk Baharin Mohamed menyatakan hasrat berundur daripada jawatan berkenaan bagi memberi laluan kepada muka baru dan muda, selepas memimpin persatuan berkenaan selama lapan tahun sejak 2013.

Bercakap pada sidang media selepas terpilih memegang jawatan berkenaan, Khairy berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Baharin yang sudah memimpin PLBNS dengan baik dan Timbalan Presiden PLBNS, Yunus Ibrahim yang memberikan sokongan padanya untuk bertanding dalam pemilihan jawatan Presiden PLBNS.

"Saya sudah menjelaskan serba sedikit kepada jawatankuasa persatuan mengenai hasrat menjadikan Negeri Sembilan bukan sekadar tempat berlangsungnya aktiviti atau kejohanan berbasikal tetapi sebagai negeri yang dapat melahirkan pelumba berprestasi tinggi dalam semua acara selain melahirkan lebih ramai pegawai teknikal.

"Usaha ini akan melibatkan program pembangunan dan teknikal.

"Negeri Sembilan bertuah kerana mempunyai kemudahan Velodrom Nasional, jadi banyak acara diadakan di sini, seperti Jelajah Negeri Sembilan dan beberapa acara lain akan diadakan pada masa depan," katanya.

Mengulas mengenai sokongan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengalu-alukan hasrat beliau untuk memimpin persatuan sukan, Khairy berkata, pihaknya sudah meminta izin daripada Reezal terlebih dulu mengenai hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden PLBNS.

"Datuk Seri Reezal sudah memberi lampu hijau kepada saya untuk bertanding, jadi saya ucapkan terima kasih kepada beliau," katanya.

Sementara itu, Baharin berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh kepada Khairy untuk memimpin PLBNS kerana ketokohan beliau dan pengalaman menerajui Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 6:32pm
d