arena

Tok Gajah terus buru tiga mata

Oleh Asrol Awang

PAHANG yang masih berdepan krisis kecederaan membabitkan pemain utama turun dengan misi meraih tiga mata apabila berdepan Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran, esok.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, kemenangan 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lalu diyakini menyuntik semangat buat anak anak buahnya untuk mengekalkan momentum itu.

"Saya percaya pemain dapat meneruskan prestasi itu atau bermain dengan lebih bagus untuk menafikan Felda United daripada mengutip mata.

"Beraksi di padang tiruan STAR, skuad Pahang menjalani latihan di padang sintetik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) semalam sebagai persediaan.

"Dengan komitmen dan fokus yang tinggi, saya yakin pemain yang diberi tanggungjawab akan membantu pasukan mengutip tiga mata di tempat lawan.

"Peningkatan prestasi yang dipamerkan pemain muda juga turut membantu memperkemaskan jentera pasukan," kata Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan.

Pada perlawanan malam esok, Mohd Faisal Abdul Halim dijangka terus menjadi sandaran utama skuad Tok Gajah untuk merobek gawang The Fighters.

Dengan dua gol yang dijaringkan Mohd Faisal setakat ini, Dollah yang tidak dapat menurunkan Dickson Nwakaeme mengharapkan penyudah berbisa daripada peneyrang itu.

Pada masa sama, peluang penyerang import dari Brazil, Ivan Carlos yang mengalami kecederaan pangkal paha untuk beraksi juga 50-50.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 6:57pm
d