arena

Sinar baharu sepak takraw

Oleh Syazwan Msar

SEHINGGA hari ini saya tidak tahu kenapa sepak takraw bukan lagi sebagai sukan teras."

Itu antara perkara yang dibangkitkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkaitan senario yang berlaku membabitkan sukan tradisi berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Ahmad berkata, sepak takraw dikeluarkan sebagai sukan teras menyebabkan sehingga kini program pembangunan membabitkan akar umbi sukar dilaksanakan secara sistematik berikutan kekurangan dana.

Beliau berkata, pertimbangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk menaikkan kembali 'darjat' sepak takraw sebagai sukan teras boleh dikatakan memberi sinar untuk pihak berkaitan mula merangka strategi pada masa akan datang.

"Saya yakin dengan kenyataan Menteri yang mahu masukkan sepak takraw sebagai sukan teras kerana sampai hari ini tiada penjelasan kenapa ia dikeluarkan.

"Jika dimasukkan sebagai sukan teras boleh mewujudkan akademi atau pusat latihan di setiap negeri dan merangka program akar umbi di peringkat sekolah menerusi bajet yang diberikan nanti," katanya.

Sebelum itu, Reezal Merican mahu sepak takraw dipertimbangkan secara serius untuk disenaraikan semula ke dalam sukan teras.

Jaminan itu diberikan selepas sukan tradisi berkenaan digugurkan pada Disember 2017 sekali gus hilang serinya.

Namun, beliau tidak boleh memberi keputusan drastik berhubung perkara itu kerana ia tidak adil kepada dua sukan lagi yang turut digugurkan iaitu angkat berat dan taekwondo.

Pada Disember 2017, angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada senarai sukan teras negara berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Keputusan itu dibuat selepas KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) membuat semakan semula termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan itu sejak 2007.

Disiarkan pada: September 19, 2020 @ 7:23pm
d