arena

Tottenham ikat Reguilon

Oleh AFP

London: Tottenham mengumumkan menandatangani bek kiri Sergio Reguilon dari Real Madrid, Khamis lalu dan sedang meneruskan perbincangan antara dua kelab mengenai kepulangan Gareth Bale ke Liga Perdana.

Reguilon berhijrah ke London dengan bayaran yang dilaporkan sekitar 30 juta euro (RM146.1 juta) ditambah dengan lima juta lagi sebagai tambahan kerana dipinjamkan kepada juara Liga Europa, Sevilla musim lalu.

Madrid, bagaimanapun dilaporkan akan menawarkan pembelian semula pemain berusia 23 tahun itu selepas dua musim dengan nilai 40 juta euro (RM194.9 juta).

"Kami gembira mengumumkan mengikat Sergio Reguilon dari Real Madrid," kata Tottenham.

"Pemain bek kiri berusia 23 tahun itu mengikat kontrak sehingga 2025 dan akan memakai jersi bernombor tiga."

Manchester United turut dilaporkan berminat mendapatkan Reguilon yang diturunkan ketika Sevilla melakarkan kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir Liga Europa ketika pasukan itu menewaskan skuad Ole Gunnar Solskjaer bulan lalu namun mereka tidak bersetuju dengan permintaan Real untuk klausa pembelian balik.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 10:54am
d