arena

Peluang Terengganu FC tipis

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Peluang Terengganu FC untuk memburu tempat kedua terbaik Liga Super musim ini, disifatkan agak tipis oleh ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain.

Nafuzi berkata untuk berada di tangga kedua, pasukannya perlu kekal menang untuk tiga lagi baki perlawanan selepas ini dan jelas Nafuzi perkara itu mungkin sukar untuk dilakukan pasukan Sang Penyu.

"Secara peribadi, bagi saya (untuk mendapat tempat kedua), kita harus menang setiap perlawanan. Sebab kalau kita menang, automatik kita berada di atas.

"Pada perlawanan terakhir, kita dapat lihat kita di mana. Tapi sekarang kita sudah kalah tiga perlawanan dan saya rasa kita tidak boleh tercicir mata untuk itu," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super UiTM FC menentang Terengganu FC, semalam.

Jelasnya, pihaknya akur keputusan pasukan lain juga memainkan peranan untuk mereka terus optimis mengejar posisi tersebut.

Skuad bimbingannya itu berada pada kedudukan kedua liga dengan mengutip 10 mata iaitu ketinggalan tiga mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menundukkan Sabah 4-0 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu 29 Ogos lalu.

Namun, ekoran kekalahan ketiga pasukan hitam putih itu dengan UiTM yang berkesudahan 2-1 di Stadium UiTM, dekat sini semalam, masing-masing Terengganu kini di tangga keenam di bawah Melaka United, 10 mata.

Sementara itu, UiTM FC kini selesa menghuni tangga ketiga Liga Super dengan 13 mata.

Disiarkan pada: September 20, 2020 @ 2:17pm
d