arena

Real kurang menyengat

Oleh AFP

Madrid: Real Madrid memulakan kempen untuk mempertahankan kejuaraan LaLiga dengan hambar apabila sekadar seri 0-0 di Real Sociedad dengan Martin Odegaard melakukan penampilan pertama bersama pasukan gergasi itu menentang bekas kelabnya.

Real tidak melakukan sebarang pembelian pemain pada musim panas dengan presiden, Florentino Perez mengakui kelab harus mengambil langkah berjaga-jaga berikutan pandemik Covid-19.

Hanya Odegaard menjadi muka baharu selepas dua tahun dipinjamkan bersama Real Sociedad dan menyinar pada musim lalu.

Odegaard yang pernah sekali membuat penampilan bersama Real pada Mei 2015, dapat beraksi selama 69 minit sebelum digantikan dengan Casemiro.

"Kami tidak dapat mencatatkan kemenangan. Saya tidak gembira dengan keputusan ini tetapi saya bangga dapat beraksi bersama Real Madrid.

"Pastinya agak sukar di awal permainan tetapi ia menjadikan saya lebih mudah apabila beraksi dengan barisan pemain terbaik," katanya.

Pengendali Real, Zinedine Zidane pula menafikan barisan pemainnya gagal menyinar musim ini apabila hanya membariskan barisan pemain sama.

"Kami gagal meraih mata penuh dan mencipta peluang terutamanya di separuh masa kedua. Kami memperoleh dua atau tiga peluang di babak pertama.

"Apapun barisan pemain bermain dengan baik terutamanya ketika bertahan. Gawang kami tidak dibolosi tetapi kurang sesuatu di bahagian serangan," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 8:36am
d