arena

Sathia kena pecat

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor, B Sathianathan dikhabarkan dipecat oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) hari ini.

Pemecatan pengendali berpengalaman itu susulan aksi tidak menentu skuad Red Giants dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Malah, kekalahan memalukan 1-6 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu adalah kemuncak kepada pemecatan bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu.

Arena Metro cuba mendapatkan pengesahan FAS namun gagal. Sebaliknya dimaklumkan sumber dalaman persatuan itu, FAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan info yang boleh dipercayai, kedua-dua pihak iaitu Sathianathan dan FAS berjaya mencapai kata sepakat berkenaan status pengendali itu.

Untuk rekod, kontrak Sathianathan akan tamat penghujung musim ini selepas beliau mula menyertai skuad Merah Kuning pada musim lalu.

Dengan perkembangan ini, Sathianathan muncul jurulatih kedua dalam saingan Liga-M musim ini 'direhatkan' selepas minggu lalu jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail turut menerima nasib sama ekoran prestasi merudum kelab itu.

Disiarkan pada: September 21, 2020 @ 1:12pm
d