arena

Tandukan Konsa benam Blades

Oleh AFP

Birmingham: Aston Villa memulakan kempen Liga Perdana dengan kemenangan 1-0 ke atas Sheffield United hasil jaringan Ezri Konsa selepas Emiliano Martinez menyelamatkan penalti buat tuan rumah.

Sheffield beraksi 10 pemain seawal babak pertama selepas kapten, John Egan dilayang kad merah akibat mengasari Ollie Watkins.

Penjaga gol Villa, Martinez menyelamatkan penalti John Lundstram pada babak pertama dalam aksi sulungnya selepas berpindah dari Arsenal dengan harga £17 juta (RM89 juta) minggu lalu.

Konsa muncul wira pada minit ke-63 menerusi tandukan walaupun mengalami sedikit kecederaan namun tetap bekerja keras sehingga tamat perlawanan.

Ia permulaan sempurna buat skuad Dean Smith yang menewaskan Burton Albion dalam aksi pusingan kedua Piala Liga minggu lalu.

"Kami langkah kanan, mendapat tiga mata dan tiada gol dibolosi. Kami bermula dengan baik dan kad merah kepada lawan mengubah corak perlawanan,'' kata Smith.

"Kami sepatutnya mendapat lebih banyak gol dan ia permulaan sangat bagus buat Emi Martinez."

Selepas tewas kepada Wolves di tempat sendiri minggu lalu, Sheffield kini tewas lima aksi liga terakhir mereka sejak musim lalu.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 8:38am
d